Thursday, May 19, 2011

ASET NEGARA

KLUANG - Belia memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju masa depan negara. 

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Md Jais Sarday berkata, penganjuran Karnival Rakan Muda dan Jom Centre amat bermanfaat kerana melibatkan golongan muda untuk menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang ia berlangsung. 

“Penglibatan belia sangat dialu-alukan kerana dengan penganjuran program seumpama ini kita dapat melahirkan generasi muda yang aktif dan berdaya saing kerana mereka adalah aset penting yang tidak ternilai harganya. 

“Dalam membangunkan modal insan, generasi muda perlu dididik dan dibimbing ke arah kecemerlangan kehidupan di dunia dan di akhirat,” katanya pada :ucapan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Rakan Muda dan Jom Centre di Dataran Persiaran Ismail Haji Hassan. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga memainkan peranan dan prihatin dalam pembangunan Rakan Muda serta memberikan peruntukan setiap tahun untuk melaksanakan aktiviti persatuan ini di bawah Gaya Hidup Rakan Muda. 

“Dalam era globalisasi, remaja khususnya golongan Rakan Muda seharusnya mencipta situasi baru dan bukan sekadar meneruskan agenda sedia ada tanpa sebarang pembaharuan. 

“Rakyat Malaysia dan kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada generasi belia dalam memantapkan pembangunan selaras dengan misi negara dalam menuju ke arah Wawasan 2020. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang komited memberi kepercayaan dan penghormatan serta prihatin terhadap pembangunan remaja dan sedia memberikan peruntukan kewangan bagi menjayakan karnival seumpama ini,” katanya. 

Karnival yang melibatkan semua daerah di negeri ini dengan Kluang menjadi tuan rumah adalah sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri pada 15 Mei, lalu.

sumber : SINAR HARIAN EDISI JOHOR (20 MEI 2010)

No comments:

Post a Comment