Saturday, June 5, 2010

ADAKAH ORANG BERJAYA ITU BERNASIB BAIK?

Sering kali kita lihat orang yang mencapai kejayaan, menerima kejayaan demi kejayaan dengan begitu mudah. Bahkan ada dalam kalangan kita mula beranggapan bahawa memang nasib menyebelahi mereka. Adakah orang yang berjaya bernasib baik?
Ada pula yang beranggapan bahawa kejayaan yang diperoleh ialah hasil daripada bakat semula jadi yang dianugerahkan kepada mereka!
Namun begitu, itu semua bukanlah sebab dan faktor utama!
Ini kerana di luar sana, mereka yang mencipta kejayaan demi kejayaan sebenarnya telah melalui pelbagai rintangan, cabaran dan kegagalan sebelum beroleh kejayaan.
Orang hanya melihat kejayaan Francais KFC sebagai sesuatu jenama Ayam Goreng yang gah di serata dunia, tetapi mereka tidak tahu bagaimana pengasasnya Kolonel Sanders terpaksa menerima lebih seribu kali penolakan dalam usaha untuk memasarkan resipi ayam goreng KFCnya!
Orang hanya melihat kejayaan Bill Gates yang pernah menjadi manusia paling kaya di dunia menguasai pasaran perisian komputer di dunia tetapi mereka tidak pernah tahu bagaimana Bill Gates dan rakan-rakannya melalui pelbagai rintangan dan kegagalan awal dalam usaha menguasai pasaran perisian sebagaimana hari ini.
Ramai yang mengharapkan cubaan pertama sebagai asas kejayaan, malangnya yang pertama itu biasanya sesuatu yang paling teruk…bahkan yang kedua , ketiga dan seterusnya pun mungkin mengalami masalah yang sama…
Sekiranya anda tahu anda tidak akan gagal maka anda akan terus berusaha untuk mencapainya…hingga BERJAYA.
Jadi apakah rahsia kejayaan mereka? Salah satunya yang paling utama - mereka tidak pernah BERPUTUS ASA! Berputus asa boleh menyebabkan anda akan mati - mati semangat, mati usaha, mati segala-galanya sebelum anda benar-benar mati!
Lihat orang yang berjaya. Mereka tidak terus menikmati kejayaan, sebaliknya mereka mengharungi kegagalan demi kegagalan dengan tabah sambil mempelajari sesuatu daripadanya…
Jadi saranan saya jika anda ingin berjaya dalam apa-apa bidang yang anda ceburi, ingat saranan saya ini,
“ANDA TIDAK BOLEH BERPUTUS ASA!”

No comments:

Post a Comment