Monday, June 7, 2010

TIP MAGNET DIRI: MENJADI INDIVIDU BERPENGARUH BUKAN SEPERTI MEE MAGGI

Belajar Hari Ini untuk Memimpin Hari Esok

Mencipta diri lebih berpengaruh adalah satu proses. Daya pengaruh dibentuk secara harian, bukan dalam sehari. Itulah realiti kepada prinsip proses. Rahsia kepada kehidupan yang berjaya bagi seseorang adalah sentiasa bersedia menghadapi kehidupan akan datang. Apabila seseorang itu tekun, konsisten dan berdisiplin berada di dalam proses, maka secara tidak langsung seseorang itu sedang membuat persediaan.

David Beckham sentiasa tekun, konsisten dan berdisiplin berlatih melakukan tendangan percuma setiap hari. Ini membuatkan David Beckham sentiasa bersedia mengambil tendangan percuma setiap kali perlawanan bola. Nicole Ann David sentiasa tekun, konsisten dan berdisiplin berlatih tujuh jam sehari membuatkan beliau sentiasa bersedia menghadapi perlawanan bertaraf dunia.

Berita baik mengenai daya pengaruh adalah ia bukan keupayaan yang statik. Tidak kira bila saudara bermula, sekiranya saudara terus belajar maka saudara mampu menjadi baik dan lebih baik.

Bertarung untuk ke Puncak

Ada satu pepatah Inggeris menyatakan, ”Seorang jaguh tidak dilahirkan terus dari gelanggang, amat jarang sekali mereka dilahirkan di sana.” Dalam erti kata lain, jika saudara ingin tahu di mana tempat yang membentuk dan memproses seorang jaguh, perhatikan rutin hidup mereka. Jaguh dan legenda tinju, Joe Frazier berkata,

”Saudara boleh merancang pelan perlawanan tinju atau pelan kehidupan. Tetapi apabila tiba masa beraksi, saudara bergantung kepada refleksi saudara. Ketika itulah gerak kerja dan latihan saudara menunjukkan hasil. Jika saudara menipu ketika dalam gelap, saudara pasti sesat walaupun di waktu pagi.”

Kata-kata Joe Frazier dapat menjadi satu analogi yang baik bagi proses membentuk daya pengaruh kerana ia melibatkan persediaan harian. Setiap orang mempunyai potensi, mereka perlu belajar dan bersedia untuk benar-benar berjaya di puncak.

Tiada Kejayaan Sekelip Mata

Bagi orang Islam, Nabi Muhammad adalah individu agung yang menjadi contoh teladan. Malah pemikir barat juga mengakui Nabi Muhammad adalah individu paling berpengaruh di dunia. Hart di dalam bukunya ’100 Most Influential Persons in History’ meletakkan Nabi Muhammad di tangga pertama dalam senarai 100 individu paling berpengaruh di dunia. Namun Nabi Muhammad tidak mencapai kejayaan itu dalam sekelip mata. Beliau melalui proses belajar sebelum menuju puncak kejayaan kepimpinannya.

Proses belajar bermula dengan beliau menjadi anak yatim apabila dilahirkan. Bapa beliau, Abdullah bin Abu Talib meninggal dunia ketika beliau dilahirkan. Tidak lama selepas beliau dijaga oleh ibunya, Siti Aminah, beliau dijaga oleh ibu susuannya bernama Halimah Sa’diah di sebuah kampung. Tidak lama selepas itu, ibu beliau pula meninggal dunia. Proses ini mengajar Nabi Muhammad menjadi insan yang cepat matang dan mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Sejak zaman kanak-kanaknya, beliau mula berniaga di sebuah negeri bernama Kota Syam. Beliau juga diberi tugas menggembala kambing. Di sinilah bermula proses Nabi Muhammad mula mempelajari erti tanggungjawab dan didedahkan dengan kemahiran memimpin. Malah sewaktu di kampungnya iaitu Kota Mekah, beliau sering menjadi tempat menyimpan barangan berharga kerana sifat amanah beliau.

Ketika dilantik menjadi pesuruh Tuhan, beliau sudah banyak belajar dan bersedia memimpin manusia. Namun, beliau tidak pernah berhenti dalam proses pembentukan daya pengaruh sebagai pemimpin manusia. Pelbagai cabaran dihadapinya seperti menghadapi tentangan daripada bapa saudaranya sendiri, menghadapi ancaman bunuh, dipenjara dan dihalau dari kampung halaman terutama sekali ketika menjayakan misi hijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah yang diingati sebagai permulaan kepada kegemilangan empayar Islam yang dikenang sehingga hari ini walaupun sudah lebih 1430 tahun. Semua itu adalah proses. Proses yang menjadikan beliau seorang individu paling berpengaruh dalam sejarah dunia.

Mula Langkah Demi Langkah

Proses ertinya masa demi masa. Seperti yang saya katakan tadi, tiada kejayaan datang dengan sekelip mata. Mencipta diri berpengaruh memerlukan proses dan dalam proses, kesedaran saudara membuak-buak untuk belajar. Selagi mana saudara konsisten, saudara mampu sampai ke tahap lebih baik dari semasa ke semasa. Tanpa saudara sedar, saudara menjadi pakar dengan gaya saudara tersendiri dalam bidang-bidang yang dipelajari.

No comments:

Post a Comment